Mangsa tanah runtuh tengahari tadi, Mohd Nor Fitri Musa, 25 bersama dua rakannya melakukan kerja-kerja pemasangan kabel telekom di tapak projek membaikpulih jalan yang sebelum ini hampir terputus berhampiran masjid Felda Besout 2.
Kerja-kerja membaikpuih jalan berkenaan telah dimulakan sejak lebih sebulan lalu dengan peruntukan kira-kira RM140,000, dan hampir siap. Jalan yang sudah ditambak sepenuhnya dan menunggu untuk ditabur batu dan diturap oleh pihak kontraktor, terpaksa dikorek semula oleh pihak Telekom Malaysia untuk membaiki kabel yang dikatakan terputus.
Ketika tiga pekerja syarikat pembinaan itu memasang kabel di dalam lubang yang baru dikorek sedalam kira-kira empat meter, runtuhan tanah yang dikorek berlaku dan telah jatuh menimpa mereka.
Tubuh Mohd Nor Fitri tertimbus sepenuhnya, dan bantuan orang ramai untuk mengeluarkannya segera dari timbunan tanah menjadi buntu kerana dihalang oleh seketul batu besar, sehinggalah pihak bomba tiba.
Dua lagi rakannya hanya tertimbus di paras pinggang dan lutut, dan diberikan rawatan pesakit luar di Pusat Kesihatan Felda Besout 3. Bagaimanapun Mohd Nor Fitri gagal diselamatkan.
Mohd Nor Fitri yang berasal dari Kampung Mak Teh, Tapah Road adalah anak ke-8 daripada sembilan adik beradik. Ibu dan bapanya yang ditemui di Pusat Kesihatan Felda Besout 3, sempat menceritakan petanda anih pagi tadi kerana gayung yang digunakan oleh allahyarham patah ketika mandi.
"Mak cik dah tiga hari rasa berdebar-debar. Bila tanda itu berlaku ke atas anak makcik pagi tadi, mak cik dah dapat rasa sesuatu," katanya dengan nada sugul.
Sama-samalah kita mendoakan kesejahteraan roh allahyarham dan semoga ditempatkan di kalangan para solehin. Al-Fatihah.
![]() |
| Menemui bapa Mohd Fitri dan ibunya yang bergegas ke Pusat Kesihatan Felda Besout 3 |
![]() |
IPOH : Seorang pekerja sebuah syarikat pembinaan maut, manakala dua lagi cedera apabila tertimbus dalam timbunan tanah sedalam empat meter ketika melakukan kerja-kerja mengorek lubang di Jalan Masjid, Felda Besaut 2, Sungkai, hari ini.
Ketua Polis Daerah Tanjung Malim Supt Osman Nayan berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika mangsa yang meninggal dunia, Mohd Nor Fitri Musa, 25, serta dua lagi rakannya Nuzul Mohamad Shaari, 25, dan Mohd Shahril Zaidi Mohd Ismail, 24, sedang melakukan kerja-kerja mengorek lubang untuk menanam kabel di kawasan berkenaan.
Beliau berkata Mohd Nor Fitri meninggal dunia di Klinik Kesihatan Felda Besaut akibat cedera parah di bahagian kepala manakala dua lagi rakannya yang cedera turut dirawat di klinik yang sama.
Katanya ketiga-tiga mangsa tertimbus apabila tanah di bahagian tepi tebing lubang yang dikorek runtuh.
Dua pekerja Telekom Telekom Malaysia Bhd yang berada di tempat kejadian bagi memantau pekerja terbabit yang melakukan kerja-kerja mengorek lubang untuk syarikat berkenaan cuba membantu mangsa tetapi gagal. Mereka kemudiannya menghubungi pihak polis.
Ketiga-tiga mangsa dikeluarkan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat dengan mengunakan jentera pengorek dan kesemua mangsa dihantar ke klinik berhampiran untuk rawatan.
Mayat Mohd Nor Fitri kemudiannya di hantar ke Hospital Slim River untuk bedah siasat. Polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut. - Bernama









































